Monday, May 11, 2009

Siri 1: Bermulanya Sebuah Perjalanan

Jam 11.30 pagi, 11 April 1977, Hari Isnin aku dilahirkan dalam suasana yang penuh kegembiraan. Menurut Mak dan Abah aku dilahirkan dalam persekitaran estet getah di Sungai Toh Pawang, Bedong, Kedah. Samapai ke hari ini abah masih lagi menyebut-nyebut tempat kelahiran aku apabila kami sekeluarga melintasi daerah Sg Tok Pawang, Bedong. Adik beradik aku seringkali tergelak apabila abah menunjukkan kawasan kelahiran aku. Black Area kata mereka disebabkan komuniti India yang dipenuhi pokok getah dan kuil Hindu di situ.
Di pintu masuk Kg Sg Tok Pawang ada sebuah kilang memproses getah. Menurut abah, dia pernah bekerja di situ sebagai operator jaga mesin dan menjaga campuran susu getah (asid formik) selama 8 tahun. Akibat dari kerja tersebut dia mengalami masalah pernafasan hingga menyebabkan dia menghidap penyakit batuk hingga ke hari ini. Abah suka bercerita tentang sejarah kerja dia kepada kami walaupun kami antara dengar atau tidak saja kadang-kadang.
Seingat aku, abah pernah membawa kami sekeluarga masuk ke Kg sg Tok Pawang sekali dahulu semasa mak masih ada. Kami pergi dengan lori abah semasa dia memandu lori kecil suatu ketika dahulu. Abah menunjukkan rumah tempat aku dilahirkan dan kami tinggal disitu selama setahun saja selepas aku lahir sebelum berpindah ke Guar Chempedak tempat tinggal kami sekarang. Mungkin banyak kenangan manis dengan rumah itu walaupun hanya sekadar rumah sewa sementara abah dan mak masih baru kahwin dahulu. Bagi aku pulak, nasib baik tak duduk situ hingga sekarang kalau tak mesti aku dah pandai cakap Tamil.
Kisah yang ingin aku tulis ini merupakan kisah sebenar pahit maung kehidupan yang terpaksa dilalui oleh kami sekeluarga dengn penceritaan yang sebenar, tentang hati dan perasaan serta bagi merealisasikan impian mak untuk melihat sebuah penghasilan bibliografi keluarga untuk tatapan generasi akan datang.
Aku sebenarnya lebih banyak tahu tentang asal-usul keluarga mak berbanding keluarga sebelah abah. Tetapi yang aku tahu ialah nama mak Esah dan bukan Aishah seperti nama panggilannya. Mak merupakan anak sulung daripada 3 adik beradik (Sama bapa dan ibu) serta hampir 15 adik beradik lain yang mana semua mereka beribukan Mak Tua (nenek tiri aku sebelah mak yang jaga mak). Diceritakan bahawa Arwah Tok Cik (ibu kandung mak) telah meninggalkan beliau sejak kecil setelah tok wan berkahwin lain dan ceraikannya atas sebab yang aku sendiri tak pasti. Mak di bela oleh Mak Tua bersama emak2 dan bapa2 saudara aku yang lain di rumah Tok Wan. Mak hanya bertemu dengan ibu kandungnya setelah berusia 18 tahun!
Menurut Mak, beliau hanya bertemu dengan ibu kandungnya setelah beliau sendiri pergi mencari tok cik di Kg Hj Ngah, Bedong sewaktu beliau berusia 18 tahun. Waktu inilah bermulanya perkenalan abah dengan mak dan akhirnya 7 tahun kemudian mereka pun berkahwin. Abah merupakan anak kepada kakak tok cik dan abah dengan mak merupakan sepupu. Ada yang mengatakan kahwin sepupu tidak baik untuk zuriat tapi setakat hari ini syukur sebab kami semua sihat walafiat dan dah ada dikalangan ahli keluargaku berjaya juga walaupun melalui pelbagai rintangan masuk ke Universiti. Rezeki, hidup mati ditentukan oleh Allah jua....
Menurut abah, nama aku diberikan sempena terjalinnya ikatan antara mak dengan ibu kandungnnya serta dengan keluarga sebelah abah. Memang takdir telah tentukan yang pertemuan tersebut telah membawa lebih banyak lagi episod suka dan duka dalam hidup mak. abah kata asalnya nama aku ialah Jalin dan bukannya Jalil sebab itulah tidak diletakkan abdul di pangkal nama aku. Kelahiran aku dikatakan telah menggabung eratkan lagi tali persudaraan antara 2 keluarga iaitu mak yang berada di bawah jagaan tok wan dan mak tua (mak tiri mak) dengan keluarga tok cik yang merupakan bekas isteri tok wan.
Disebabkan nama aku Jalin atau disebutkan Jalen (macam nama kicap) maka seluruh ahli keluarga aku yang dekat termasuk rakan2 kampung terdekat memanggilku dengan Len. Ni kira nama glamourla ni.

No comments:

Post a Comment